Wednesday, January 30, 2008

Danial Akmal Syahir



Danial adalah anak keduaku. Dia sangat pendiam dan sukar untuk berbicara. Walaupun umurnya hampir 4 tahun, dia masih malu untuk bercakap.
Sewaktu aku hantar Diyana ke sekolah, aku telah menyatakan bahawa Danial memang seorang yang pendiam. Semasa aku mengambil anakku pulang dari sekolah, cikgunya memberitahuku bahawa Danial sangat berminat untuk belajar. Dia meminta agar Danial juga dimasukkan ke tadika.
Danial seorang yang periang dan sangat bersemangat untuk ke tadika. Aku rasa, memang sesuai dia diberikan pendedahan awal untuk belajar. Aku terus mendaftarkan Danial untuk sekolah. Danial sangat gembira apabila dia berpeluang untuk memakai uniform sekolahnya.

Selamat Harijadi Danish!!!!



19 Januari 2008.


Aku bangun pagi ni dan terus mengejutkan Danish. Aku nyayikan lagu selamat harijadi buatnya. Setelah menyiapkan anak-anakku, aku menghantar mereka ke taska. Hari ini aku perlu menghadiri kuliahku.


Aku mula belajar pada 12 Januari 2008 dan ini merupakan semester kedua. Keputusan semester pertama sangat memberangsangkan dan aku berazam untuk berusaha dengan lebih kuat dalam semester ini.


Aku bercadang hendak membeli kek harijadi setelah kuliahku selesai. Nasib baik kelasku habis awal kerana Dr Haidar tidak masuk kelas. Suamiku sms dan memberitahu bahawa kek telah dibelinya tadi.


Nasib baik hadiah harijadi Danish telah dibeli, sebuah basikal baru. Danial pun dapat basikal baru. Setelah aku sampai dirumah, aku berehat sebentar. Kemudian kami sekeluarga meraikan harijadi Danish yang ke 2. YEEEEEEAAAAAA.... Danish dah pandai tiup lilin.

3 Januari 2008




Diyana masuk sekolah.... Ini hari pertama dia nak pergi ke tadika D'Ceria. Setibanya disekolah, Diyana menangis, aku hairan kenapa pulak laaa dia nak menangis. Adik-adiknya elok jee tak menangis. Setahu aku, dia laa yang tak sabar nak masuk sekolah, tetapi kenapa pulak dia menangis.
Rupa-rupanya, rakannya yang lain memakai pakaian baju sukan. Itu yang menyebabkan dia menangis. Nasib baik laa rumahku dekat dengan sekolah. Lantas aku aku pulang ke rumah mengambil baju sukannya. Setelah memujuknya, dia gembira semula.
"Ibu dah boleh balik dah. Diyana nak sekolah laa ibu." Diyana berkata padaku sambil melambai tangan menyuruhku pulang ke rumah.




31 Disember 2007


Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2007. Rumah ini telah pun selamat kami sekeluarga diami dan aku pun telah mengemas rumah ini sepenuhnya. Terasa penat lelah setiap hari mengemas berbaloi apabila melihat setiap barang dirumah ini tersusun rapi.

Aku telah mendaftarkan anakku di tadika berhampiran dirumahku. 3 Januari akan bermulalah episode persekolahan bagi Diyana, Danial dan Danish ditempat baru. Segala persiapan persekolahan seperti baju, buku dan kasut telah aku sediakan.


Aku bertanya pada Diyana, apakah azam dia tahun baru ini? Lantas dia menjawab , "Diyana nak pergi sekolah laa ibu. Kenapa sekolah ni asyik cuti jeee." Aku tergelak dengan jawapan dibibirnya. Ternyata dia sudah tidak sabar hendak ke sekolah barunya.


Azam aku... Sudah pasti aku inginkan kehidupan yang lebih tenteram dan bahagia disamping keluarga. Dan aku ingin memastikan aku berjaya dalam pelajaran.


Pada malamnya, kami sekeluarga menonton tv melihat sambutan tahun baru. Danial dan Danish bermain ditepi tangga. Gelak tawa riang mereka membuatkanku sungguh terhibur. Tiba-tiba, suamiku bertanyakan tentang Danish. Aku sangka mereka bermain dibelakangku. Aku toleh kebelakang dan tidak nampak Danish. Aku bertanya pada Danial, mana Danish? Dalam loghat sengaunya, Danial berkata, "Anish hempit". Haaa..... apa tu..... aku tak paham.


Aku segera meninggalkan sofa dan mencari Danish.... Daniiishhhh....... laaa... rupanya dia tersepit diantara tangga. Kepalanya tidak lepas dan badannya didalam stor. Tangga rumahku mempunyai lubang dan suamiku masih tidak berkesempatan membeli kayu untuk menutup bawah tangga. Dibawah tangga adalah stor dan di dalamnya penuh dengan kotak.


Danish menangis apabila ternampak aku dan aku cuba mengeluarkan dia dari tangga. Aku menjerit meminta bantuan suamiku. Anak dah tersepit laa bang.... cepat laaaa.... Suamiku bingkas bangun dan cuba menarik keluar Danish. Nasib baik dia boleh keluar dari tangga itu.


Aku segera meredakan tangisan anakku... Danish, lain kali main depan ibu tau, jangan main kat tangga lagi.

9 Disember 2007



Aaahhhhhhh……. Penatnya nak pindah rumah!!!!!! Setelah separuh pengubahsuaian dapur, aku bertekad untuk pindah ke rumah ini kerana kesuntukan masa untuk pelbagai urusan. Jikalau aku tidak keluar dari rumah sewaku lagi, pasti aku perlu membayar sewa bulan disember. Lagipun, aku perlu mengemas rumah dan ini mengambil masa 1 bulan untuk mengemas rumah. Lagipun, cuti semesterku hampir tamat dan aku akan mula belajar pada 5 Januari 2008. Sekiranya aku perlu menunggu sehingga pengubahsuaian siap, pasti aku tidak sempat untuk mengemas dan mengatur semula jadual harian anak-anakku.

Inilah tarikhnya aku berpindah, 9 Disember 2007. Anak-anakku sangat gembira apabila mereka sampai dirumah baruku. Barang-barang bilik mereka segera aku kemas agar mereka dapat tidur dengan selesa malam nanti. Walaupun set bilik tidurku yang baru belum tiba, aku tidak kisah kerana set katil lamaku masih boleh dipakai.

Penat sungguh apabila berpindah. Itu pun aku telah membawa barang-barangku yang kecil di dalam kereta sebelum hari ini. Jikalau semua barang hendak diangkut sekali, pasti lebih memenatkan. Setelah semua barang di dalam kotak diletakkan di dalam bilik utama, barulah aku berehat kerana esok baru aku nak mula mengemas semua barang yang ada.

27 November 2007


Hari ini merupakan hari yang paling menggembirakan kerana rumah yang aku beli akhirnya berjaya dimiliki. Aku membeli rumah ini dengan pinjaman Bank Kerjasama Rakyat 2 tahun lepas. Setelah berurusan dengan pihak bank dan pemaju, aku perlu membayar RM5118 kepada pihak pemaju sebelum mendapatkan kunci rumah. Ini semua berpunca dari masalah dokumen di mana ia menyebabkan bank lewat memberikan wang kepada pihak pemaju. Situasi ini telah menyebabkan kelewatan pembayaran dan aku dikenakan “LATE PENALTY CHARGE”.

Pada mulanya aku perlu membayar RM16 000, setelah beberapa siri rundingan dengan pihak pemaju, akhirnya aku perlu membayar sejumlah wang sebelum kunci rumah diberikan. Aku pada mulanya enggan memberikan wang itu kerana dengan wang sejumlah itu, aku mampu membuat pengubahsuaian dapur dan cabinet dapur. Setelah berfikir panjang, sekiranya aku tidak menjelaskan wang tersebut, pasti aku perlu tinggal dirumah sewa ini. Lagipun, dari khabar angin menyatakan harga simen dan besi bakal melonjak pada tahun 2008. Nanti, aku perlu membayar kos yang lebih tinggi untuk pengubahsuaian rumahku.

Dengan tawakkal di hati, aku dan suami, ditemani ibu pergi ke pejabat pemaju untuk mendapatkan kunci rumah. Setelah pembayaran dibuat, aku berjaya mendapat kunci rumah yang aku impikan. Aku terus pergi ke rumahku di Bandar Saujana Putra. Setelah membuat pemeriksaan, rumahku dalam keadaan baik dan aku terus mendapatkan kontraktor untuk pengubahsuaian.

Walaupun arwah ayahku tidak sempat melihat rumah baruku, aku pasti dia gembira kerana aku telah mempunyai rumah sendiri. Ibuku tersenyum panjang melihat rumah baruku dan aku pasti pengubahsuaian rumahku akan bermula esok.

Abang… inilah hadiah harijadi abang untuk tahun ni. Semoga rumah baru ini mengeratkan lagi perhubungan kita selama-lamanya.

25 November 2007



Hari ini merupakan harijadi ke 29 buat suamiku. Masa yang berlalu sungguh cepat sehingga tak terasa suamiku sudah menjangkau lewat 20-an. Aku pergi ke rumah ibuku dan menyambut harijadinya disana. Tiada hadiah yang istimewa buat suamiku hari ni kerana aku sedang mengaturkan hadiah yang lebih bermakna untuk dia.

Anak-anakku sungguh gembira apabila melihat kek. Masing-masing ingin meniup lilin pada kek. Maka terpaksalah lilin yang telah ditiup dihidupkan apinya semula agar semua anak-anakku mendapat peluang untuk meniup lilin. Walaupun ini harijadi ayah, mereka tetap mahukan keseronokkan meniup lilin.

Suamiku bertanya, takde hadiah kee tahun ni? Aku hanya tersenyum dan berkata, 'tahun ni tak cukup budget laaa'. Aku hampir tergelak kerana dia tidak tahu aku akan mengaturkan hadiah yang paling bermakna untuk dia dan kami sekeluarga.

18 November 2007




Hari ni merupakan hari penyampaian hadiah buat Diyana. Aku pakaikan Diyana baju sekolahnya kerana aku pasti inilah hari terakhir Diyana di sekolah tadika KEMAS. Setibanya aku dilokasi, Cikgu Halimah memberitahuku Diyana perlu memakai baju raya kerana untuk persembahan nasyidnya. Aku berasa geram kerana Diyana tidak memaklumkan perkara itu kepadaku.

Aku segera pulang ke rumah mengambil baju rayanya. Cikgu Halimah membawa Diyana untuk pertandingan mewarna. Setibanya aku dirumah, aku tidak menjumpai tudung raya yang telah kubelikan untuk Diyana. Aku terus mencapai tudung sembahyang kerana itu sahaja idea yang terlintas dipemikiranku.

Setibanya aku dilokasi, aku segera mencari Diyana dan aku melihat Diyana sedang asyik mewarna. Aku memberikan semangat untuknya mewarna dan baju raya akan dia pakai sebelum persembahan nasyidnya.

Diyana mewarna dengan bersungguh-sungguh walaupun buah-buahan dalam lukisan itu diwarnakan mengikut kreativitinya. Aku hampir tergelah melihat lukisan buah-buahannya berwarna pelangi. Tak kisah laaa.. yang penting dia gembira.

Setelah Diyana habis mewarna, aku salinkan pakaiannya. Semasa Diyana membuat persembahan nasyid, aku melihat dia sungguh gembira menyanyi bersama rakan-rakannya. Walaupun umurnya baru 5 tahun, dia tidak kekok bernasyid dihadapan orang ramai.

Aku merasa sungguh terharu melihat anakku diatas pentas mengambil hadiah dan sijil. Dia kelihatan girang dengan membawa hadiahnya. Satu kepuasan melihat anak tersenyum mendapat hadiah di hari penyampaian hadiah....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...