Tuesday, March 1, 2011

Peruntukan besar pendidikan bukti BN prihatin

Kali ni sadi nak share pasal perancangan negara mengenai pendidikan pelajar... walaupun berita ni agak lapuk... tapi sangat penting bagi memastikan pendidikan anak-anak di Bandar Saujana Putra.....
___________________________________________

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara, jelas membuktikan bahawa kerajaan amat mementingkan pembangunan modal insan melibatkan seluruh masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran telah menerima suntikan besar dalam Bajet 2011 iaitu peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding tahun ini iaitu RM25.5 bilion.


Menurut beliau, peruntukan bagi tujuan pembangunan sektor pendidikan juga meningkat sebanyak RM1.5 bilion atau 26.5 peratus iaitu kementerian menerima sebanyak RM4.9 bilion bagi tahun ini dan meningkat kepada RM6.4 bilion pada 2011.

"Itu termasuk peruntukan istimewa RM250 juta untuk pembangunan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah mubaligh serta sekolah bantuan kerajaan.

"Peningkatan itu lebih 500 peratus berbanding hanya RM39.2 juta yang diterima pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambah Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, bajet rakyat itu jelas menunjukkan kerajaan amat mementingkan pembangunan modal insan dengan kementeriannya bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia diberikan tanggungjawab melengkapkannya.

"Kita yakin ini adalah bajet untuk rakyat mendapat faedah maksimum dengan pelaksanaan yang akan dibuat secara efisien oleh agensi-agensi kerajaan. Ini adalah petanda jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin dengan semua kehendak rakyat," katanya.

Mengulas mengenai usaha membawa masuk guru-guru pakar bahasa Inggeris dari United Kingdom dan Australia, Muhyiddin berkata, seramai 375 tenaga pakar itu akan memulakan tugas mereka pada awal tahun depan.

Mereka ini, kata beliau, tidak akan ditempatkan untuk mengajar di sekolah-sekolah tetapi sebaliknya bertanggungjawab membantu guru-guru yang mengajar bahasa tersebut.

"Tenaga pakar ini akan membimbing dan memberi latihan secukupnya kepada guru bahasa Inggeris tempatan supaya dapat menghasilkan pengajaran terbaik, sekali gus menambah baik proses pembelajaran dan pengajaran (P & P) di sekolah," katanya.

Mengenai pemberian multi vitamin kepada sekolah rendah di seluruh negara, Muhyiddin berkata, ia adalah inisiatif kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri untuk memastikan kanak-kanak sentiasa berada dalam keadaan cergas dan sihat.

"Sebelum ini kita telah lancar projek Susu Sekolah 1Malaysia dan ditambah lagi dengan pemberian kerajaan iaitu multi vitamin. Perkara lanjut mengenainya akan dibincangkan dengan Khazanah Nasional," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Oktober 2010

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...