Friday, April 22, 2011

BUDAYA LEPAS TANGAN

Hari ni sadi rasa sangat MARAH... anyway... meh layan artikel ini untuk kesedaran bersama...



”Lepas tangan” ialah peribahasa Melayu yang bermaksud tidak campur tangan dalam sesuatu hal. Secara umum budaya lepas tangan bermaksud amalan melepaskan tanggungjawab dalam sesuatu perkara sama ada secara individu atau kumpulan. Amalan menolak tanggungjawab ini dapat diperhatikan di mana-mana saja sama ada di rumah, di pejabat, dan dalam masyarakat. Orang yang mengamalkan budaya ini tidak kisah mengabaikan tanggungjawabnya. Kesan daripada sikapnya itu bukan saja ditanggung oleh dirinya tetapi melibatkan orang lain dan kelicinan perjalanan sesuatu urusan.

Jika budaya negatif ini melibatkan tanggungjawab kumpulan maka ahli yang culas itu melepaskan tanggungjawab yang diserahkan kepadanya itu kepada ahli kumpulan yang lain, sementara dia dapat bergoyang kaki tanpa rasa bersalah. Jika kerja tersebut mendapat pujian, dia akan mendakwa bahawa kerja itu adalah sebahagian daripada sumbangannya, jika sebaliknya dia akan menyalahkan orang lain untuk melepaskan dirinya. Orang begini sentiasa mencari kesempatan untuk memudahkan kerjanya kerana dia sendiri tidak tahu membuat kerja tersebut. Untuk menyelamatkan dirinya, dia memperalatkan orang lain. Orang seperti ini, malas berfikir dan tidak suka akan cabaran.

Sementara sikap lepas tangan menyebabkan tugas yang melibatkan kerja berkumpulan diagihkan tidak sama rata antara individu dalam kumpulan tersebut. Semangat ukhuwah tidak berlaku dalam urusan kerja. Satu pihak terbeban dengan beban kerja yang banyak sementara pihak lain tidak begitu bahkan ada pihak pula yang menjadi tukang angguk saja. Perkara begini sering berlaku dalam sesuatu projek, pada peringkat perbincangan banyak yang turut serta tetapi pada peringkat pelaksanaan hanya seorang dua saja yang bertungkus-lumus menyudahkan kerja. Lebih malang lagi apabila ketua projek sendiri mengamalkan sikap tidak ambil tahu terhadap tanggungjawabnya. Ada pula yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak menyumbangkan idea untuk kebaikan kumpulan. Faktor yang menyebabkan sikap lepas tangan ini semakin menjadi-jadi dalam sesebuah organisasi disebabkan konsep kerja terbudaya yang lebih bersifat kebendaan, iaitu pelaksanaan sesuatu tugas lebih dirujuk kepada usaha-usaha bergaji yang membawa hasil kewangan semata-mata.

Budaya lepas tangan memberi implikasi yang besar pada keharmonian dan hubungan dengan sesama rakan sekerja malah dalam skop yang lebih besar, sikap ini akan membunuh budaya kerjasama yang menjadi jati diri sosial masyarakat Malaysia. Maka sudah tiba masanya kita mengubah paradigma dan menghidupkan tradisi budaya bekerjasama dan berpegang pada budaya bekerjasama yang diamalkan oleh nenek moyang kita.

(Diubahsuaikan daripada rencana Budaya Lepas Tangan di Pejabat oleh Safinah Saupi, Dewan Ekonomi, Julai 2005.)

Moral of the story: Jangan amalkan budaya ini... peace no war.... :D

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...