Monday, February 14, 2011

Firma menang projek LRT RM7b diumum Oktober

Orait, kali ni nak share lagi pasal pembangunan jangka masa panjang di Bandar Saujana Putra... akan terbina LRT di Putra Height dan ini akan memudahkan kemudahan pengangkutan bagi penduduk di Bandar Saujana Putra juga... layan berita dari Berita Harian......


20 September 2010

Prasarana keluar surat tawaran kerja dalam tempoh terdekat

KERAJAAN akan mengumumkan syarikat yang memenangi bidaan bagi kerja sambungan dua laluan baru sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya serta Ampang yang dianggarkan bernilai RM7 bilion pada bulan depan.

Sumber Kementerian Kewangan berkata, Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana), firma yang dipertanggungjawabkan kerajaan bagi pembinaan sambungan baru LRT berkenaan akan mengeluarkan surat tawaran kerja kepada syarikat yang dipilih itu dalam tempoh terdekat bagi membolehkan fasa pertama kerja pembinaan dimulakan sebelum akhir tahun ini. Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan kini sedang memperhalusi dokumen bidaan yang dikemukakan 17 syarikat pembinaan dalam dan luar negara. Keputusannya dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat atau paling lewat sebelum pengumuman Bajet 2011 nanti dengan surat tawaran akan dikeluarkan selepas pengumuman itu, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata, 17 syarikat pembinaan itu disenarai pendek hasil proses pemilihan ketat Prasarana sebelum ia dikemukakan kepada kerajaan 7 September lalu.

Mereka (17 syarikat pembinaan) berkenaan dipilih berdasarkan kepada kapasiti dan kebolehan dari segi teknikal dan kewangan serta pengalaman berkaitan, katanya sambil menambah 15 syarikat lain turut disenarai pendek sebagai sub-kontraktor bagi pemasangan dan penghantaran galang kotak bersegmen.



Difahamkan, daripada nilai projek RM7 bilion itu, lebih RM1 bilion diperuntukkan bagi pembinaan struktur tambahan sambungan sistem tren yang mana ketika ini sebuah firma Kanada, iaitu Bombardier Inc, pemilik teknologi sistem LRT sedia ada di Malaysia dikatakan sebagai firma utama yang akan dianugerahkan kerja itu.
Selain Bombardier, tiga lagi firma tempatan, Scomi Group, Global Rail Sdn Bhd dan YTL Group turut berpotensi untuk diberikan bahagian kerja berkenaan.

Antara syarikat pembinaan utama lain termasuk IJM Corporation, Gamuda Bhd, WCT, Sunway, Loh & Loh Construction, UEM Builders, Mudajaya, MRCB dan Bina Puri Holdings Bhd.

Sumber itu berkata, projek sambungan baru LRT itu, satu daripada projek terbesar dan utama dalam senarai perbelanjaan kerajaan tahun ini, akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu kerja sivil serta mekanikal dan elektrikal.

Cadangan sambungan laluan LRT Ampang itu akan bermula dari stesen Sri Petaling, melalui kawasan Kinrara dan Puchong serta berakhir di Putra Heights, meliputi jarak 17.7 kilometer (km) dan 13 stesen baru.

Sambungan baru bagi laluan Kelana Jaya pula bermula dari stesen Kelana Jaya, melalui kawasan Subang Jaya dan USJ serta berakhir di Putra Heights, meliputi jarak sejauh 17 km dan 13 stesen baru.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...