Thursday, September 13, 2012

Isu Sekolah di Bandar Saujana Putra di Aduan Rakyat TV3

Ini kisah lama... tapi aku lupa nak kemaskini dalam blog... pasal laporan isu sekolah di Aduan Rakyat TV3... namun sampai sekarang... isu ini masih lagi tidak terungkai permasalahan sekolah ini...

ADUAN RAKYAT 

Menghairankan, penduduk lebih 20 ribu orang tetapi tiada kemudahan pendidikan sempurna walaupun sebuah sekolah. Itulah dilema penduduk perumahan Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang telah dibangunkan sejak 5 tahun lalu.

Hilang sabar dengan sikap pihak berkenaan yang seolah-olah memandang ringan kekurangan itu, kira-kira 60 penduduk tampil mengadakan protes secara aman di tapak pembinaan sekolah itu bagi mendesak kemudahan dibina segera. Butirannya bersama wartawan Aduan Rakyat Loo Tung Seang. Beremosi tapi aman, beginilah suasana protes penduduk Bandar Saujana Putra, Kuala Langat.

Aduan Rakyat difahamkan gara-gara ketiadaan sekolah rendah dan menengah menyebabkan lebih 2 ribu pelajar di kawasan berkenaan terpaksa bersekolah di lokasi yang lebih jauh antaranya Puchong, Subang dan Shah Alam. Tinjauan turut mendapati tapak pembinaan sekolah yang dicadangkan kini dipenuhi semak-samun akibat terbiar sekian lama.

 Shamsuddin Salleh, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Saujana Putra: "Pada 2008 kami telah memohon kepada kerajaan negeri Selangor waktu itu untuk membina sekolah dan Alhamdullilah kami telah mendapat jawapan yang positif daripada pihak kerajaan dan juga Kementerian Pendidikan Negeri Selangor. Namun begitu, projek itu tertunda daripada 2008 hinggalah sekarang."

Penduduk ditemui kecewa dengan sikap pihak berkuasa yang kurang prihatin dan akibatnya ibu bapa terpaksa menanggung beban kewangan kerana perlu menghantar anak-anak ke sekolah yang jauh dari rumah. Abdul Aziz Adullah, Penduduk:

"Kita ada buat sesi dialog antara penduduk, persatuan-persatuan NGO dan kita collect lebih kurang 7 atau 8 memo yang kita hantar kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Alasan dia, dia akan panjangkan, panjangkan, panjangkan, sampai bila dia panjang kita tak tahu." Noorazliyaton Muhd Taib, Penduduk:

"Saya dah tak sanggup sebab satu hari saya keluar 10 kali, jadi tuan-tuan bayangkan 10 kali kalau keluar dengan duit minyak untuk 2 hari sahaja saya lalu dekat 50 ringgit 2 hari. Selama 5 tahun saya lalu di situ, jadi saya tak rasa saya mampu untuk tahun depan."

Dan ini pula reaksi penyelaras Pembangunan Persekutuan Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli. "Saya harap supaya perkembangan projek sekolah ini, saya minta kerjasama bukan sahaja daripada kerajaan persekutuan, saya juga minta kerjasama supaya kerajaan negeri juga membantu memudahkan proses ini. Kalau tak..... Ada nanti masalah sebab tanah-tanah semua dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Kalau dia orang ding dong majlis daerah semua, itu semua di bawah kerajaan negeri, jadi kita minta semualah bekerjasama dalam menyelesaikan masalah rakyat ini. Jangan kira apalah!"

Untuk kepastian status projek pembinaan sekolah, Pengarah Pelajaran Selangor dirujuk. Abdullah Mad Yunus, Pengarah Pelajaran Selangor: "JPN Selangor menganggap ia sebagai keutamaan dan kita masukkan dia dalam rancangan Malaysia ke-10. InsyaAllah dia bergantung kepada keupayaan peruntukkan daripada kerajaan untuk melaksankan sekolah ini. Dari segi kita, dari segi JPN, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, memang kita menganggap ianya satu keperluan kerana kepadatan penduduk yang tinggi." Pastinya apa yang dinyatakan Pengarah Pelajaran Selangor menjadi harapan kepada penduduk bagi menamatkan penantian sekian lama. Loo Tung Seang, Aduan Rakyat, TV3.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...