Thursday, September 13, 2012

MAHSA ditawar jadi universiti: Semasa upacara pecah tanah di Bandar Saujana Putra

Dah lama betul tak mengupadate blog... disebabkan kesibukan masa kerja... anyway... just nak mengupdate pasal perkembangan MAHSA di Bandar Saujana Putra....
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan surat pelawaan kepada Kolej Universiti Malaysian Allied Health Sciences Academy (MAHSA) untuk dinaik taraf menjadi sebuah universiti. Najib berkata, persetujuan kerajaan untuk menaiktaraf kolej universiti itu berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pengurusan MAHSA dalam memperkasakan pendidikan tinggi. "Oleh itu, melalui Kementerian Pengajian Tinggi, saya berbesar hati untuk menyampaikan surat pelawaan ini kepada pengurusan MAHSA. "Tanpa surat ini, impian MAHSA untuk menjadi sebuah universiti tidak mungkin tercapai," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian upacara pecah tanah kampus baharu universiti berkenaan di Bandar Saujana Putra, Puchong, di sini hari ini. Turut hadir Canselor Kolej Universiti MAHSA, Tun Zaki Tun Azmi; Pro Canselor dan Pengerusi universiti, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican; Pro-Canselor & Pengerusi Eksekutif, Prof. Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Megat Burhainuddin Megat Abdul Rahman. Tanah seluas 20.34 hektar akan digunakan bagi membangunkan kampus berkenaan dan pembangunan fasa pertama dijangka siap pada 2014. MAHSA ditubuhkan lapan tahun lalu dengan hanya menawarkan pengajian jurusan Diploma Jururawat dengan pengambil pelajar seramai 38 orang. Bagaimanapun apabila kampus baharu ini siap sepenuhnya ia dapat menampung sehingga 15,000 pelajar termasuklah pelajar daripada luar negara. Sementara itu, Dr. Mohd. Ismail Merican ketika ditemui berkata, pelawaan berkenaan akan menjadi pendorong kepada pengurusan universiti untuk terus berusaha dalam meningkatkan kualiti pengajian selaras dengan standard antarabangsa. Malah, katanya, pihak universiti juga akan meningkatkan kerjasama dengan universiti-universiti antarabangsa terkenal dalam menyediakan lapangan pengajian terbaik kepada para pelajar. "Melalui kerjasama-kerjasama itu akan membolehkan MAHSA mencapai piawaian pengajian antarabangsa. Kita tidak mahu hanya memenuhi piawai tempatan semata-mata. "Selain itu, kita juga akan membuat pelaburan bagi mendapatkan tenaga pengajar dan kemudahan pembelajaran terbaik untuk kemudahan para penuntut," ujarnya. Beliau berkata, melalui pelawaan itu, pihak universiti akan terus berusaha untuk memberikan pendidikan tinggi terbaik kepada seluruh rakyat termasuk penuntut asing yang berminat melanjutkan pengajian di negara ini. (Petikan dari Utusan)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...