Thursday, November 22, 2007

Demam, Batuk, Selsema dan Sakit Perut


Apabila membesarkan anak-anak, setiap ibu bapa pasti akan menjadi risau apabila anak mereka jatuh sakit. Begitu juga dengan diriku. Walaupun aku sebagai seorang pegawai farmasi, saat anakku sakit seringkali membuatku tidak lena tidur kerana risaukan mereka.


Demam, batuk, selsema dan sakit perut adalah assam garam dalam membesarkan anak. Sekiranya seorang anakku mula demam, mulalah aku risau kerana ankku yang lain juga pasti akan jatuh sakit. Aku memang tidak sukakan antibiotik diberikan kepada anakku walaupun aku bekerja dalam bidang perubatan. Kalu sakitnya tidak melarat, aku pasti mengelak dari memberikan antibiotik.



Anak yang mula demam adalah proses tumbesaran anak dalam membina antibodi di dalam badan. Semasa bayi, ibu yang menyusukan anak memberikan antibodi secara natural kepada anaknya melalui susu. Sebab itulah kita digalakkan menyusukan anak. Apabila anak demam, sistem imunisasi anak terbina secara natural. Kita perlu memberikan perhatian yang secukupnya apabila anak demam kerana jika suhu badan anak terlalu tinggi, ia boleh mendatangkan mudarat terutamanya di bahagian otak dan boleh mendatangkan kecacatan fizikal yang kekal. Bagi mengelakkan suhu badan anak dari tinggi, anak boleh diberikan ubat demam yang mengandungi paracetamol setiap 4 ke 6 jam. Selain itu, mandikan anak sekiranya suhu badan masih tidak turun. Letakkan 'Cool Fever' pada bahagian kepala tetapi sekiranya anak cuba menanggalkannya, letakkan dibahagian belakang bahu. Jika anak muntah dan badannya panas, jangan dipaksa anak untuk minum susu. Cukup dengan memberikan air glukosa kepada anak dan berikan ubat muntah promethazine 5mg. Sebelum anak tidur, masukkan suppositories paracetamol tetapi jangan berikan sirap paracetamol. Makanan perlu diberikan kepada anak kita supaya khasiat makanan membantu proses sembuh dari demam. Berikan makanan pepejal yang lembut seperti bubur dan kentang rebus. Jangan berikan anak makanan ringan kerana ia akan membuat anak berasa loya dan muntah. Anak yang demam perlukan tidur yang cukup dan sekiranya tidurnya tidak cukup, demamnya akan berlarutan.


Baju anak perlulah jenis yang ringan dan tidak berat kerana pakaian yang berat contonya berlengan panjang dan berseluar panjang akan menyebabkan suhu badan anak meningkat. Pakailah baju yang ringan seperti singlet dan seluar pendek. Orang tua-tua dahulu selalu menggalakkan budak yang demam agar memakai baju yang berat dan berselimut bagi menggalakkan budak berpeluh fan ini mempercepatkan proses penyembuhan anak, akan tetapi ia sebenarnya tidak praktikal kerana suhu di Malaysia yang panas akan meningkatkan suhu badan budak yang demam dan boleh menyebabkan anak mendapat sawan. Kasih sayang juga membantu proses penyembuhan kerana dengan kucupan ibu dan ayah di dahi anak yang demam akan memberikan impak psikologi anak dan ini membantu dia untuk cepat sembuh.


Selepas anak demam, ia pasti diikuti dengan sakit selsema dan batuk. Ubat antihistamine membantu dalam proses penyembuhan anak. Anak yang berhingus menyukarkan pernafasan. Hingus perlu dilap agar tidak dimakan oleh anak kita. Tetapi perlu diingat agar jangan menggunakan sapu tangan yang sama bagi mengelap hingus. Pakai sapu tangan yang bersih atau tisu. Hidung anak jangan ditekan bagi mengeluarkan hingus tetapi dilap dengan perlahan kerana sekiranya hingus dipaksa keluar dengan hidung ditekan, hidung anak boleh mengalami kecederaan atau luka kecil. Oleh itu, ia dilap dengan baik. Itulah bukti kasih sayang ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Walaubagaimanapun, terdapat ibu dan ayah yang mengelap hingus dengan baju anak sendiri, kasihanilah anak itu kerana ia menyebabkan kuman tersebar dan anak ini akan menghidapi selesema buat jangkamasa yang lebih lama.


Anak yang batuk selalunya akan muntah apabila minum susu. Terutamanya pada waktu 2-3 pagi, anak akan bangun dan meminta susu, dan setelah itu dia akan memuntahkan susu yang diminumnya. Oleh itu, sebelum anak tidur, pastikan ubat batuk dan ubat muntah diambil bagi mengelakkan anak muntah diwaktu pagi. Selain itu, susu boleh digantikan dengan air glukosa.


Bagi bayi yang mengalami kembung perut dan sakit perut, boleh mengambil Gripe Water sebelum tidur, Ibu perlu memastikan air susu yang dibuat menggunakan air masak dan bukan air mentah. Susu boleh bertahan dalam tempoh 3 hingga 4 jam sahaja kerana susu yang lama boleh menyebabkan bayi sakit perut. Selain itu, sapukan minyak telon di dalam pusat dan kaki bayi kerana ia mengelakkan bayi dari kembung perut.


Anak yang sakit perlu diberikan perhatian kerana kesilapan ibu dan ayah yang lalai boleh mengakibatkan anak mengalami kecacatan seumur hidup.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...