Saturday, November 24, 2007

Gigi Ohhh... Gigi





24 November 2007

Semalam, aku seperti biasa mengajar Diyana membaca buku. Walaupun cuti sekolah, aku memastikan pembelajaran anak-anakku tidak terhenti kerana inilah masa yang paling sesuai untuk memberikan tumpuan yang lebih kepada mereka. Semasa Diyana membaca, aku terpandang giginya yang tersusun rapi. Aku tersenyum melihat keletahnya membaca. Tetiba, aku terlihat sesuatu digigi... seperti terdapat nasi digusinya. Aku rasa, pagi itu aku tidak sarapan nasi goreng, aku hairan.

'Diyana... cuba nganga. Ibu nak tengok gigi Nana' kataku pada Diyana. Lantas, Diyana terus membuka mulautnya. Aku tergelak melihat rupanya gigi baru sulung anakku telah tumbuh. Umurnya baru 5 tahun, giginya telah mula tumbuh. Aku segera memeriksa gigi bongsunya agar gigi barunya boleh tumbuh. Rupanya, gigi bongsu Diyana baru bergoyang sedikit. Aku terus meminta Diyana menggoyangkan giginya. Aku terus menghubungi suamiku memberitahu berita yang menarik ini. Suamiku hanya tergelak apabila berita ini diketahuinya.

Aku risau kerana gigi baru Diyana tumbuh agak terkebelakang. Lantas aku menghubungi kakakku. Namun, Kakakku menyatakan gigi itu akan tumbuh ditempatnya kerana gigi itu baru tumbuh sedikit.

Aku dan suamiku cuba menggoyangkan gigi bongsu Diyana namun gigi itu masih tidak tertanggal. Sebelum tidur, aku berpesan pada Diyana agar menggoyangkan giginya.

Pagi tadi, setelah makan pagi, Diyana tidak mahu menggoyangkan giginya lagi. Dia memberitahuku bahawa dia berasa sakit menggoyangkannya dan dia takut apabila darah keluar dari gusinya. Aku meminta dia berbaring dipangkuanku. Semasa dia menonton karton, aku menggoyangkan giginya. Semasa darah banyak keluar dari gusinya, aku pasti bahawa kedudukan giginya telah goyah. Aku mengambil tisu dan memberitahu Diyana aku mahu mengelap air liurnya. Diyana mengambil cermin kecilnya dan ingin melihat giginya. Lantas aku terus menarik giginya keluar. Diyana tidak menjerit kerana dia tidak sedar giginya sudah tiada. Semasa dia melihat giginya dicermin, dia bertanya padaku dimana giginya. Aku terus membawanya di dapur.

Semasa didapur, aku membuat air garam dan meminta dia berkumur. Setelah dia berkumur air garam, aku mengeluarkan giginya dalam tisu. Dia terus menjerit keriangan melihat giginya. Dia berlari membawa giginya dan menari-nari menunjukkan giginya di hadapan Danial dan Danish.

Selang beberapa miit, pintu rumahku terbuka. Rupanya suamiku telah pulang dari tempat kerjanya. Diyana menutup mulutnya kerana ingin memberikan kejutan kepada suamiku. Setelah suamiku membuka kasut, Diyana terus menjerit, AAAYAAAAHHHHH.... GIGI DIYANA DAH TAKDE!!!!! Suamiku tersenyum melihat Diyana...

Diyana membuatkan kami sekeluarga tersenyum. Anak ibu dah semakin membesar rupanya...

Thursday, November 22, 2007

Demam, Batuk, Selsema dan Sakit Perut


Apabila membesarkan anak-anak, setiap ibu bapa pasti akan menjadi risau apabila anak mereka jatuh sakit. Begitu juga dengan diriku. Walaupun aku sebagai seorang pegawai farmasi, saat anakku sakit seringkali membuatku tidak lena tidur kerana risaukan mereka.


Demam, batuk, selsema dan sakit perut adalah assam garam dalam membesarkan anak. Sekiranya seorang anakku mula demam, mulalah aku risau kerana ankku yang lain juga pasti akan jatuh sakit. Aku memang tidak sukakan antibiotik diberikan kepada anakku walaupun aku bekerja dalam bidang perubatan. Kalu sakitnya tidak melarat, aku pasti mengelak dari memberikan antibiotik.



Anak yang mula demam adalah proses tumbesaran anak dalam membina antibodi di dalam badan. Semasa bayi, ibu yang menyusukan anak memberikan antibodi secara natural kepada anaknya melalui susu. Sebab itulah kita digalakkan menyusukan anak. Apabila anak demam, sistem imunisasi anak terbina secara natural. Kita perlu memberikan perhatian yang secukupnya apabila anak demam kerana jika suhu badan anak terlalu tinggi, ia boleh mendatangkan mudarat terutamanya di bahagian otak dan boleh mendatangkan kecacatan fizikal yang kekal. Bagi mengelakkan suhu badan anak dari tinggi, anak boleh diberikan ubat demam yang mengandungi paracetamol setiap 4 ke 6 jam. Selain itu, mandikan anak sekiranya suhu badan masih tidak turun. Letakkan 'Cool Fever' pada bahagian kepala tetapi sekiranya anak cuba menanggalkannya, letakkan dibahagian belakang bahu. Jika anak muntah dan badannya panas, jangan dipaksa anak untuk minum susu. Cukup dengan memberikan air glukosa kepada anak dan berikan ubat muntah promethazine 5mg. Sebelum anak tidur, masukkan suppositories paracetamol tetapi jangan berikan sirap paracetamol. Makanan perlu diberikan kepada anak kita supaya khasiat makanan membantu proses sembuh dari demam. Berikan makanan pepejal yang lembut seperti bubur dan kentang rebus. Jangan berikan anak makanan ringan kerana ia akan membuat anak berasa loya dan muntah. Anak yang demam perlukan tidur yang cukup dan sekiranya tidurnya tidak cukup, demamnya akan berlarutan.


Baju anak perlulah jenis yang ringan dan tidak berat kerana pakaian yang berat contonya berlengan panjang dan berseluar panjang akan menyebabkan suhu badan anak meningkat. Pakailah baju yang ringan seperti singlet dan seluar pendek. Orang tua-tua dahulu selalu menggalakkan budak yang demam agar memakai baju yang berat dan berselimut bagi menggalakkan budak berpeluh fan ini mempercepatkan proses penyembuhan anak, akan tetapi ia sebenarnya tidak praktikal kerana suhu di Malaysia yang panas akan meningkatkan suhu badan budak yang demam dan boleh menyebabkan anak mendapat sawan. Kasih sayang juga membantu proses penyembuhan kerana dengan kucupan ibu dan ayah di dahi anak yang demam akan memberikan impak psikologi anak dan ini membantu dia untuk cepat sembuh.


Selepas anak demam, ia pasti diikuti dengan sakit selsema dan batuk. Ubat antihistamine membantu dalam proses penyembuhan anak. Anak yang berhingus menyukarkan pernafasan. Hingus perlu dilap agar tidak dimakan oleh anak kita. Tetapi perlu diingat agar jangan menggunakan sapu tangan yang sama bagi mengelap hingus. Pakai sapu tangan yang bersih atau tisu. Hidung anak jangan ditekan bagi mengeluarkan hingus tetapi dilap dengan perlahan kerana sekiranya hingus dipaksa keluar dengan hidung ditekan, hidung anak boleh mengalami kecederaan atau luka kecil. Oleh itu, ia dilap dengan baik. Itulah bukti kasih sayang ibu dan ayah kepada anak-anaknya. Walaubagaimanapun, terdapat ibu dan ayah yang mengelap hingus dengan baju anak sendiri, kasihanilah anak itu kerana ia menyebabkan kuman tersebar dan anak ini akan menghidapi selesema buat jangkamasa yang lebih lama.


Anak yang batuk selalunya akan muntah apabila minum susu. Terutamanya pada waktu 2-3 pagi, anak akan bangun dan meminta susu, dan setelah itu dia akan memuntahkan susu yang diminumnya. Oleh itu, sebelum anak tidur, pastikan ubat batuk dan ubat muntah diambil bagi mengelakkan anak muntah diwaktu pagi. Selain itu, susu boleh digantikan dengan air glukosa.


Bagi bayi yang mengalami kembung perut dan sakit perut, boleh mengambil Gripe Water sebelum tidur, Ibu perlu memastikan air susu yang dibuat menggunakan air masak dan bukan air mentah. Susu boleh bertahan dalam tempoh 3 hingga 4 jam sahaja kerana susu yang lama boleh menyebabkan bayi sakit perut. Selain itu, sapukan minyak telon di dalam pusat dan kaki bayi kerana ia mengelakkan bayi dari kembung perut.


Anak yang sakit perlu diberikan perhatian kerana kesilapan ibu dan ayah yang lalai boleh mengakibatkan anak mengalami kecacatan seumur hidup.


Danish dan Ulat



31/10/07 Hari ini merupakan hari yg meletihkan. Semalam aku dah email pada LBS betapa aku geram berkenaan hal rumah aku ni. Payah betul nak dapatkan kunci rumah. Pagi tadi aku bangun lewat pasal lambat tidur. Danish tak banyak ragam masa pagi tadi. Elok je dia tidur nyenyak dalam dakapanku. Lepas mandi dan bersiap, aku terus pergi ambil diyana & danial di tadika. Seronok betul anak-anakku belajar ke tadika. Walaupun Danial baru berusia 3 tahun, semangatnya untuk pergi ke sekolah sukar untuk halang. Dia pasti menangis sekiranya dia tak dapat pergi ke sekolah bersama kakaknya. Lantas aku memohon persetujuan dari guru tadika untuk membenarkan Danial pergi ke sekolah bersama Diyana.

Suamiku mempunyai hobi memelihara ikan kelisa. Ulat dibeli setiap 3 hari bagi makanan untuk ikan kelisanya. Aku sentiasa mengingatkan suamiku untuk meletakkan ulat di tempat yang tinggi agar tidak dapat dicapai oleh anak-anakku. Aku memang gelikan ulat. Walaupun ulat itu di dalam bekas, aku tak berani untuk menyentuhnya.
Lepas makan tengahari , aku suruh anak-anakku tidur. Aku terlelap semasa menidurkan anak-anakku. Rupanya, anak bongsuku ini tidak tidur. Danish main di ruang tamu dan pabila aku tersedar, rumahku macam kapal pecah . PDAku ada dihujung tingkap, lagi sikit nak jatuh. Bekas ulat pun terbuka dan ulat-ulat berselerakan dipermaidani dan sofa. Jam di bilik tidurku boleh berada dimeja sofa. Haaaaa.... Geramnya dengan Danish . Aku menjerit gelikan ulat. Lantas anakku terbangun dari tidur. Aku terus mengambil PDA dan menghubungi suamiku. Aku tempatkan Danish di dalam katil bayi supaya dia tidak bermain dengan ulat. Aku dan Diyana cuba mengemas tapi aku terlalu gelikan ulat yang ada disofa. Aku semburkan dgn Ridsect, tetapi pabila terpandangkan ulat tu menggeliat, aku terus belari ke bilik.

Kemudian, suamiku balik, dan dia terus mengemas ruang tamu dan mencari semua ulat yang terlepas. Setelah semua kembali ke sedia kala, barulah suamiku makan dan masuk ke pejabatnya semula. Aku rasa geli geleman duduk diruang tamu, pabila teringatkan ulat tu, nasib baik Danish tak main disofa aku terlelap , dan nasib baik ulat tu tak dtg padaku. Aku risau juga kalau Danish termakan ulat itu, tapi setelah aku periksa dia, pasti... ulat itu hanya mainan baginya dan bukan makanan. Setelah suamiku pulang, aku tergelak mengenangkan kenakalan anakku . Tak tahulah dia ni takut pada apa, marah pun tak guna pasal dia akan tersenyum manja. Danish... Kakak dan abang pun tak pernah buat pada ibu begini. Danish ni memang anak bertuah.

Tiga Permata Hatiku




Perkahwinanku dengan suamiku dianugerahkan tiga cahayamata, Diyana Syakirah, Danial Akmal Syahir dan Danish Asyraaf Syazwan. Kehidupan seharian mereka menjadikan hidupku penuh bermakna dengan gelagat dan teletah mereka.

Diyana Syakirah, puteriku.. dilahirkan pada 30 Julai 2002. Anakku ini sangat petah berkata dan aktif setiap hari. Danial Akmal Syahir, puteraku... dilahirkan pada 27 September 2004. Danial seorang pendiam dan seorang pemalu. Danish Asyraaf Syahir, putera keduaku... dilahirkan pada 19 Januari 2006. Babyku ini seorang yang ceria, periang dan jarang menangis.

Semasa aku mengandungkan anakku, pengalaman yang berbeza daku alami bagi setiap anakku. Pengalamannya sungguh berbeza bagi setiap kelahiran dan ingin aku kongsikan bersama. Berbagai amalan pantang semasa mengandung dan selepas mengandung aku praktiskan agar badanku sihat dan tidak mengalami masalah kegemukkan.

Semasa aku bekerja, masa terluang bagi anak-anakku sangat pendek dan aku perlu memperuntukkan masa yang terhad kepada mereka. Alhamdullilah, rezekiku dipanjangkan Allah dan aku berjaya menyambungkan pelajaranku ke peringkat Sarjana. Masa cuti semester, aku peruntukkan masa ke atas anak-anakku. Dan inilah yang mendorong diriku memulakan laman blog ini.

Aku dedikasikan laman ini buat tatapan semua agar aku dapat berkongsi kebahagiaan dan kedukaan sebagai seorang ibu membesarkan tiga permata hatiku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...